Geely akan masuk semula pasaran Australia dengan jenama sendiri, bukan dengan Proton walaupun RHD?

Geely akan masuk semula pasaran Australia dengan jenama sendiri, bukan dengan Proton walaupun RHD?

Menurut laporan CarExpert, Geely kini dilihat sedang mencari staf baharu di laman LinkedIn untuk jawatan pengarah pemasaran nasional bagi pasaran Australia. Bukan itu sahaja, jenama automotif China itu juga sebelum ini memfailkan tanda dagang di negara tersebut pada Januari lalu.

Nampaknya rancangan yang diumumkan Geely ketika mula-mula menjadi rakan kongsi Proton pada 2017 mungkin berubah. Ini kerana sebelum ini Geely pernah menyatakan bahawa menerusi Proton, Malaysia akan menjadi hab untuk penghasilan model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) dan dieksport keluar. Dengan langkah terbaharu yang dibuat oleh Geely ini nampaknya seperti ia akan masuk ke Australia dengan logonya sendiri, bukan melalui Proton walaupun negara berkenaan menggunakan konfigurasi RHD.

Walau bagaimanapun, masih belum jelas model mana yang akan dibawa oleh Geely ke Australia. Malah selain Proton, Geely turut mempunyai pelbagai sub-jenama lain yang mungkin lebih sesuai digunakan di sana seperti Geometry (EV mampu milik), Galaxy (model-model premium), Radar Auto (EV gaya hidup termasuk trak pikap) dan pelbagai lagi.

Buat masa sekarang memang sudah ada beberapa jenama di bawah payung Zhejiang Geely Holding Group yang sudah bertapak di Australia iaitu Volvo, Polestar dan Lotus, serta bakal disertai oleh Zeekr pada separuh kedua 2024, diikuti Lynk & Co dijadualkan pada 2025 nanti.

Geely sebelum ini pernah masuk ke pasaran Australia menerusi kumpulan John Hughes, dengan pelancaran Geely MK sedan dan hatchback pada 2010. Walau bagaimanapun penjualan model yang hanya boleh didapati pada pasaran Australia Barat itu tidak bertahan lama kerana tahap undang-undang keselamatan di negara tersebut dipertingkat, menyaksikan Geely terpaksa angkat kaki terlebih dahulu.

 

 

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Source link