Chery Omoda 7 didedah – SUV sporty dengan enjin 1.5 TGDi, skrin boleh lungsur, lebih besar dari Omoda 5

Chery Omoda 7 didedah – SUV sporty dengan enjin 1.5 TGDi, skrin boleh lungsur, lebih besar dari Omoda 5

Chery Omoda 7 baru sahaja didedahkan di China dan ia dipanggil sebagai sebuah SUV coupe sporty yang lebih besar daripada Omoda 5. Rekaannya menggabungkan tiga elemen penting: dinamik, avant-garde dan futuristik.

Penampilannya ternyata menyerlah. Dengan muncung seperti jerung dan gril parametrik tanpa batas, ia dilihat seperti mempunyai inspirasi daripada Lexus RX dan menggunakan banyak bucu tajam. Jika dilihat lebih teliti, pada bucu bamparnya terdapat corak heksagon yang boleh menyala.

Omoda 7 diletakkan atas rim 20 inci dua tona, dan lengkuk rodanya mempunyai kemasan yang bercorak unik. Walaupun dengan pelbagai rekaan canggih ini, pembuka pintunya masih menggunakan penarik seperti kereta biasa dan bukan jenis yang boleh tenggelam seperti yang banyak digunakan oleh kereta China sekarang.

Melihat dari tepi, garis bumbung seakan coupe memberikan rupa seakan Range Rover Velar, tetapi garis tingkapnya mempunyai bahagian yang jelas naik ke atas di belakang, seperti Omoda 5. Lampu belakang menggunakan rekaan yang dipanggil sebagai tenaga elektrik, dengan beberapa penunjuk arah bergabung untuk menghasilkan seakan bentuk petir.

Untuk saiz, Omoda 7 mencatat ukuran 4,621 mm panjang, 1,872 mm lebar dan 1,673 mm tinggi, dengan jarak roda 2,700 mm. Ini jelas adalah lebih besar berbanding Omoda 5 (4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,588 mm tinggi, jarak roda 2,630 mm) dan lebih dekat kepada Honda CR-V (4,694 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,681 mm tinggi, jarak roda 2,700 mm).

 

 

Keadaannya lebih menarik di bahagian dalam, kerana Omoda 7 ini menampilkan elemen gaya permainan. Roda stereng contohnya, dikatakan mendapat inspirasi daripada pengawal PlayStation 5 manakala tempat duduk hadapan pula dibentuk seperti tempat duduk permainan. Jahitan unik serta kulit nubuck sebagai kemasan pada beberapa bahagian menaikkan rasa sporty.

Chery Omoda 7 didedah – SUV sporty dengan enjin 1.5 TGDi, skrin boleh lungsur, lebih besar dari Omoda 5

Sementara itu, skrin sesentuh 15.6 inci di bahagian tengah kenderaan ini boleh diluncur ke depan penumpang hadapan supaya mereka tidak perlu menoleh ke tepi. Skrin dengan resolusi 2.5K dan tahap keterangan 1,000 nit ini boleh dikawal menggunakan gerakan, suara atau butang.

Ciri menarik lain pada Omoda 7 adalah termasuk tempat untuk meletakkan pewangi supaya ia boleh masuk ke dalam sistem pendingin hawa kenderaan, sistem audio Sony 12+2 pembesar suara serta sistem pembatalan bunyi enjin untuk memberikan keadaan lebih senyap dalam kabin.

Selain daripada itu, casisnya (platform Omoda 5 versi dipanjangkan dan diubah) telah dipertingkat dengan dua suspensi hidraulik serta sistem brake-by-wire yang lebih maju. Untuk ADAS, sekurang-kurangnya ada 18 ciri untuk sistem bantuan pemandu, termasuk fungsi pembantu tukar lorong kawalan suara.

Di bawah hudnya adlaah enjin petrol empat silinder 1.5TGDi yang digabungkan bersama sistem plug-in hybrid. Enjin itu sendiri dikatakan mempunyai kecekapan suhu tertinggi dalam kelasnya, iaitu 44.5%, sementara pek baterinya pula boleh memberikan jarak gerak elektrik sehingga 95 km.

Selepas keluar versi PHEV ini, nanti akan ada pula versi Internal Combustion Engine (ICE), berkemungkinan menggunakan enin petrol empat silinder 1.6 liter seperti Jaecoo J7. Sedikit memeranjatkan, Omoda 7 ini tidak akan ditawarkan dengan versi elektrik (EV) seperti Omoda 5.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Source link