Jaecoo J6 sah masuk Malaysia – EV versi pemanduan kanan akan dibawa ke Malaysia Autoshow Mei ini
Semasa berada di China, rakan sekerja kami sempat mendekati Jaecoo J6, iaitu sebuah SUV elektrik penuh (EV) yang juga dijual di negara itu menggunakan nama iCar 03. iCar ini adalah satu lagi jenama di bawah Chery.
Menariknya, SUV ini sekarang sudah disahkan akan dibawa ke Malaysia, dan model pemanduan sebelah kanan akan dipamerkan di acara Malaysia Autoshow bulan hadapan. Bagi yang mencari SUV berbentuk kotak dan ranggi, ia mungkin boleh dijadikan sebagai pilihan.
Berkenaan saiznya, J6 mencatat panjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm dan tinggi 1,715 mm. Jarak rodanya boleh dikatakan panjang bagi sebuah SUV saiznya, dengan catatan 2,715 mm. Sebagai perbandingan, ia sedikit pendek berbanding J7 (4,500 mm), tetapi J6 adalah lebih lebar (+45 mm) dan lebih tinggi (+35 mm).
Apabila dijual dengan nama berbeza, model ini turut menerima perincian rupa yang lain, dengan terdapat perbezaan pada gril (logo i menyala) serta kotak simpanan di belakang, antara J6 dan 03. Model yang akan dipamerkan di Malaysia diberitahu akan mempunyai kotak belakang tersebut, bersama gril iCar 03.
Di China, iCar 03 ditawarkan dalam pilihan tetapan motor elektrik dengan pacuan dua roda belakang atau semua roda. Menurut laporan media tempatan China, versi dua motor boleh menghasilkan kuasa sehingga 279 PS, boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat dan mencapai kelajuan 150 km/j. Dengan penggunaan bateri lithium iron phosphate (LFP) 69.8 kWh, jarak geraknya boleh mencapai 501 km (CLTC).
Kelengkapan lain yang ada pada J6 adalah seperti pintu ruang barangan belakang buka ke tepi, pembuka pintu sama rata dengan badan, skrin sesentuh untuk infotainmen yang besar, panel instrumen digital bersepadu, pembuka pintu elektrik serta pemilih mod pemanduan kristal. Turut disediakan adalah panel solar atas bumbung yang boleh membantu mengecas bateri kenderaan serta kamera ADAS daripada DJI.
GALERI: Jaecoo J6 dan iCar 03 di China
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.