Jualan Proton April 2024 naik 17.1%; X50 dan S70 paling laris dalam segmen masing-masing
Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 11,025 unit kenderaan untuk pasaran domestik dan eksport bagi bulan April 2024. Angka tersebut membolehkan syarikat itu merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 17.1% berbanding bulan sama tahun lalu yang mencatatkan jualan sebanyak 9,415 unit kenderaan.
Dengan jumlah yang dicatat itu juga membolehkan jualan kumulatif tahunan Proton bagi tahun 2024 ini juga mencapai 50,175 unit, berbanding 49,702 unit bagi tempoh Januari hingga April 2023. Ia selari dengan pertumbuhan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia yang dianggar naik 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif kini mencapai 261,345 unit bagi tahun ini.
Oleh itu, Proton menganggarkan pegangan bahagian pasarannya di Malaysia pada April 2024 berada pada jumlah 18.7%, manakala bahagian pasaran tahunan pula dianggar pada 19.2% bagi membolehkan ia kekal berada di tempat kedua. Manakala untuk eksport, ia melonjak lagi pada kadar 38.5% dari 603 unit kepada 835 unit sejak awal tahun hingga bulan April.
Dari jumlah jualan tersebut, X50 telah menyumbang jualan sebanyak 1,642 unit pada bulan April membolehkan ia kembali naik ke tangga teratas sebagai SUV segmen-B paling laris dalam pasaran tempatan. Manakala Proton S70 pula kekal sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia untuk bulan keempat berturut-turut dengan mencatatkan jualan sebanyak 1,635 unit pada April, dan kini sudah mencapai 7,463 unit untuk empat bulan pertama tahun ini.
Model paling mampu milik dari Proton iaitu Saga masih kekal menyumbangkan jualan paling banyak, mencatatkan 5,031 unit pada bulan April. Oleh itu jualan kumulatif tahunannya kini telah mencecah 23,278 unit, atau naik sebanyak 8.8%.
Bagi lain-lain model, jualan untuk Proton X70 mencapai 552 unit, manakala sedan segmen-B Proton Persona, dan SUV segmen-D Proton X90, masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,429 unit dan 312 unit. Hatchback segmen-B Proton Iriz pula terjual sebanyak 424 unit pada April, dan jualan empat bulan pertama tahun ini sudah mencapai 1,958 unit.
Untuk pasaran eksport pula, Saga turut menjadi model paling popular dengan menyumbang sebanyak 427 unit, diikuti X50 di tempat kedua dengan 176 unit terjual di luar negara sejak Januari hingga April tahun ini. Proton S70 yang dijual di luar Malaysia pula telah terjual sebanyak 89 unit sepanjang bulan lalu, semuanya untuk satu-satunya pasaran eksport untuk sedan itu setakat ini iaitu di Brunei.
“Penurunan dalam jualan automotif pada bulan April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8% berbanding Mac 2024, mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana OEM, pengedar, dan pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan lain tidak beroperasi sempena cuti. Walau bagaimanapun, permintaan berterusan untuk model Proton diperkukuh lagi oleh usaha berterusan dalam penambahbaikan kualiti dengan skor Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang lebih baik sejak 2019, menanamkan keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan pemandu,” kata CEO Proton Edar Roslan Abdullah.
“Jualan eksport kekal sebagai tonggak penting kepada matlamat jangka panjang Proton dan dengan Proton S70 meningkatkan jualannya dalam pasaran domestik serta eksport, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan eksport yang mampan tahun ini dan meningkatkan sumbangan jualan eksport kepada jumlah jualan tahunan kami. Tahun ini, kami telah menambah Trinidad dan Tobago ke dalam portfolio eksport kami dan mengukuhkan semula kedudukan kami di Bangladesh. Proton yakin pasaran akan melonjak kerana masih terdapat banyak permintaan daripada pembeli kereta. Ini adalah penting bagi kami untuk terus melakukan yang terbaik, memastikan kecemerlangan dalam setiap usaha yang dijalankan,” tambahya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.