Perkhidmatan bas perantara disediakan secara percuma untuk acara Madani Raya di JB esok
Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tujuh negeri bermula di Johor Bahru, esok (18 April 2024). Manakala enam lagi majlis yang sama dirancang diadakan di Sabah pada 20 April, diikuti Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.
Untuk acara di JB, ia akan dilangsungkan di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall, bermula jam 4 petang hingga 7 malam. Bagi menjayakan acara berkenaan, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut menawarkan perkhidmatan bas perantara percuma dan orang ramai yang mahu menyertai sambutan Hari Raya itu boleh memarkir kenderaan masing-masing sama ada di Giant Tampoi atau Danga Bay Convention Centre dan menaiki bas yang disediakan untuk ke Angsana.
Bas perantara dari Giant Tampoi dan Danga Bay Convention Centre akan mula bergerak antara jam 3 petang hingga 4.30 petang untuk perjalanan pergi ke Angsana, dan perjalanan pulang dari jam 6.30 petang hingga 7.30 malam. Para pengunjung disarankan untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara dari dua lokasi yang dinyatakan ini memandangkan kawasan sekitar Angsana pasti akan sesak sepanjang penganjuran acara sambutan Hari Raya berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.